Saturday, October 1, 2011

Selamat Hari Lahir Sahabat....

Assalammualaikum w.b.t...

Agak lama saya tak menulis sesuatu. Dah bersawang agaknya blog ini. Apa boleh buat, saya benar-benar sibuk dengan pelajaran. Tapi alhamdulillah hari ni saya sempat luangkan masa sedikit tuk membuat satu entry. Entry ni saya buat khas sempena hari lahir sahabat baik saya pada hari ini, 1 Oktober.

* inilah sahabat saya tu


Alhamdulillah pada ketika saya masih belajar di tingkatan 4, Allah pertemukan saya dengan seorang sahabat yang baik budi pekertinya. Beliau yang saya maksudkan adalah Muhammard Nur Shafiq Bin Haji Norshah a.k.a Syeikh Brisbane. Diam tak diam dah agak lama juga kami bersahabat. Saya masih ingat lagi kami pergi kursus dan pertandingan-pertandingan untuk wakil sekolah & daerah. Banyak juga kenangan yang boleh dijadikan pengajaran. Lucu pula bila teringat balik masa sekolah dulu bilamana kami bermasam muka hanya kerana perkara-perkara kecil. Tapi bila dah dewasa ni dan boleh fikir secara matang semuanya baik-baik sahaja. Alhamdulillah sampai sekarang ukhuwwah yang terbina masih lagi kukuh meskipun masing-masing telah menyambung pelajaran dan membawa haluan hidup sendiri

“Barangsiapa yang bersaudara dengan seseorang karena Allah, niscaya Allah akan mengangkatnya ke suatu derajat di surga yang tidak bisa diperolehnya dengan sesuatu dari amalnya.” (Riwayat Muslim)

                                                       ***

Banyak benda yang membuatkan saya ingin menulis entry ini. Terus terang perkenalan dia dan saya telah menjadi titik mula perubahan besar dalam hidup saya. Sebenarnya saya telah terkesan dengan perwatakan dan sifatnya. Mungkin dia tak rasa yang dia dah buat sesuatu pada saya tapi pernah dengar tak bagaimana akhlak seseorang itu mampu mengubah hidup seseorang? Seperti mana ada satu kisah tentang Rasulullah S.A.W yang ingin saya kongsikan. Diriwayatkan Rasulullah SAW hampir setiap hari memberi dan menyuapkan makanan kepada seorang pengemis buta beragama Yahudi yang mengemis disebuah pasar. Ketika menyuap makanan kepada pengemis tua ini. Yahudi tua ini tidak pernah putus putus mencerca akan Rasulullah SAW dan menghina agama Islam. Namun Nabi tidak pernah memarahinya malah Nabi dengan sabar terus menyuap makanan kepada Yahudi tua yang buta ini. Hampir beberapa lama peristiwa ini berlaku sebegitu. Yang akhirnya apabila Rasulullah telah wafat, kerja mulia ini telah diambilalih oleh Abu Bakar. Itupun setelah mendapat arahan dan nasihat dari Fatimah sebagai menyambung kerjamulia Rasulullah SAW.

Setelah disuapi, Pengemis buta Yahudi ini telah membentak kepada Abu Bakar dan mengatakan bahawa engkau ini bukanlah orang yang sering menyuapkan makanan kepadaku setiap hari. Abu Bakar berkata bahawa akulah yang menyuapkan kamu pada setiap hari. "Tidak" kata pengemis tua itu dan manyambung dengan berkata "orang yang sering menyuapkanku itu memang ada kelainan daripada kamu. Ia menyuapkan aku dengan lembut dan ikhlas sekali, Makanan yang keras dilembutinya terlebih dahulu sehingga ianya menjadi lembik dan mudah aku menelannnya. dan cara suapannya amat selesa dan disenangi sekali. "Engkau bukan orangnya" marah pengemis buta kepada Abu Bakar. Akhirnya mengakulah Abu Bakar bahawa selama ini yang menyuapkan makanan itu adalah orang lain. Pengemis bertanya " Dimanakah orang mulia itu " Jawab Abu Bakar, beliau telah wafat. Bertanya lagi pengemis buta ini. Siapakah yang sebenarnya orang yang telah menyuapkan aku selama hari ini. Kata Abu Bakar : Yang menyuapkan makanan pada setiap hari kemulutmu itu adalah Nabi Muhammad SAW. Pengemis tua ini menangis teresak resak dan amat menyesal atas perbuatannya kerana telah menghina dan mencaci Nabi, sedangkan orang yang dihina itulah yang telah menyuapkan makanan kepadanya pada setiap hari. Asabab ini, ia telah memeluk agama Islam atas kagumnya terhadap akhlak mulia Nabi Muhammad SAW.

Subhannallah. Begitu hebat akhlak Nabi sehingga membuatkan si pengemis buta itu memeluk Islam. Dalam konsep dakwah juga begitu. Ada satu kisah tentang si fulan yang ingin berdakwah kepada sahabatnya yang langsung tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai muslim. Dalam masa beberapa minggu sahaja sahabatnya telah berubah dan bertaqwa kepada Allah. Apa yang menariknya disini ialah beliau tidak pernak berkata sepatahpun mengenai agama kepada sahabatnya tetapi beliau mempamerkan akhlak yang baik dan memberi khidmat kepada sahabatnya itu. Betapa besarnya pengaruh akhlak kepada insan yang mahu berfikir.

                                                           ***
“Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka.” Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka.” Beliau menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi karena Allah.” (Riwayat Nasa’i dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu)

Alhamdulillah banyak benar perubahan yang berlaku pada saya kerana bersahabat dengan beliau. Disepanjang permulaan persahabatan itu saya melihat dan menafsir segala tindak tanduknya. Banyak perkara yang memberi pengajaran kepada saya. Beliau datang dari keluarga yang berpendidikan. beliau adalah salah seorang pelajar yang bijak dan budi pekertinya baik, Beliau juga menjaga solat lima waktu. Semua perkara itu telah membuat saya berfikir. Sampai bila saya ingin terus malas belajar dan tidak membuat persediaan untuk mengadap Allah. Alhamdulillah, petang itu Allah memberi kesedaran pada saya untuk berubah. Tika saat itu hati merasa sebak lantas saya sujud pada Allah dan mula belajar bersungguh-sungguh.

“Jika seseorang menjalin ukhuwwah dengan orang lain, hendaklah ia bertanya tentang namanya, nama ayahnya, dan dari suku manakah ia berasal, karena hal itu lebih mempererat jalinan rasa cinta.” (Riwayat Tirmidzi)

Alhamdulillah, sekarang saya dapat apa yang saya idamkan. Saya dapat rasakan betapa bernilainya iman itu. Saya juga dapat melanjutkan pelajaran di tempat saya belajar sekarang. Walaupun tidaklah sehebat orang lain yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi saya amat bersyukur pada Allah dengan apa yang saya miliki sekarang. Saya terfikir kalaulah Allah tidak pertemukan saya dengannya bagaimanalah keadaan saya sekarang.

                                                         ***

Rasulullah bersabda, “Pada hari kiamat Allah berfirman: Dimanakah orang-orang yang saling mencintai karena keagungan-Ku? Pada hari yang tiada naungan selain naungan-Ku ini, aku menaungi mereka dengan naungan-Ku.” (Riwayat Muslim)

Ya akhi Shafiq, ana bersyukur kerana dipertemukan dengan akhi. Mungkin akhi baru tahu kenapa ana benar-benar senang bersahabat dengan akhi. Jazakallau khairan kathira pada akhi kerana sepanjang perkenalan kita banyak sungguh jasa akhi pada ana. Ana doakan akhi sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah s.w.t. Moga akhi berbahagia disamping orang tersayang dan moga-moga segala impian akhi menjadi kenyataan. Semoga ukhuwwah yang terbina ini terus utuh ke pintu jannah. Sanah helwa ya akhi. Ana uhibbuki fillah.



Friday, June 24, 2011

Eh, tunggu sekejap ye abang malaikat.

Agak lama jemari tidak menekan papan kekunci ini tuk berkongsi sesuatu. Mungkin kerana fokus pada pelajaran atau sedikit sibuk dengan beberapa urusan (ah, bilang saja kau malas allif, bukan sebab takde masa!). Rasa kekok pula sebab lama betul tidak menukil sesuatu. Tapi Insyaallah ada sesuatu untuk dikongsikan.

Semalam, semasa di class saya terdengar sahabat saya menjawab satu panggilan telefon. Nada suaranya agak janggal. Akal mentafsir sesuatu, hati meronta ingin tahu lalu telinga bersedia menangkap setiap bait-bait kata yang terungkap di bibirnya.

     "kau dah tahu yang Wan meninggal?"

     "tadi ayah aku call n beritahu aku."

     "dia cakap Wan accident n meninggal."

     "alaa, Wan yang belajar kat Poli Sabak Bernam tu."

     "abis kau tak balik?"

     "aku dalam class ni, balik pkul 9 malam."

     "aku balik kampung pagi besok."

     "k Assalammualaikum."


Perbualan itu terhenti disitu. Err nak tanya ke taknak ye. Hati nak tahu sangat, so saya pon tanya la.

   
     "Mim kawan kau ke yang meninggal? Kenapa? " pertanyaan saya untuk merungkai persoalan dihati.

     "aah, accident", jawapannya ringkas menafsirkan kesugulan di hatinya.

     "Innalillah wa inna ilaihirrojiun, sebaya dengan kita ke?"

     "aah", seiring dengan anggukan kepalanya.


"Ya Rabbi, muda-muda dah mengadap Ilahi", desis hatiku. Mungkin pertanyaan itu sudah cukup untuk menjawab persoalan di hati saya. Saya tidak mahu menambah perasaan sedih yang mungkin membungkam di hatinya. Insaf hati ini mengenangkan persiapan yang masih terlalu sedikit untuk menghadapi sakaratul maut.

                                                           ***

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
"
( A-li 'Imraan : 185 )


Hati mana yang tidak gentar dengan mati? Hati mana yang tidak gentar dengan pedihnya sakaratul maut? Hati setiap insan dan jiwa yang bernyawa pasti akan terusik bila terdengar berita tentang kematian seseorang. Begitu juga dengan saya. Ia adalah naluri semulajadi setiap insan meskipun punyai pegangan agama yang berlainan. Tetapi berbeza dengan penganut agama lain, umat Islam secara automatiknya akan insaf dan teringat akan Allah.

Kenapa jadi begitu??

Itulah harga sebuah keimanan. Kita percaya dan yakin bahawa Allah itu wujud dan kepada-Nya lah kita akan dikembalikan. Kita pasti sedar tentang hakikat kehidupan selepas kematian tetapi sejauh mana kita bersiap sedia untuk menghadapinya. Ya Rabb, malunya diri ini. Saya juga sering lalai dalam mengejar cinta Allah. Rasa cukup dengan pahala yang ada sedangkan dosa sehari-hari itu berganda-ganda jumlahnya. Eh, Macam mana pula dengan ilmu yang ada? Dah amal ke belum, atau memang sengaja nak simpan buat pekasam? Tak takut ke Allah soal di akhirat kelak?

                                                           ***

"Siapkah kita untuk menghadapi perjalanan hari pembalasan?"


"Cukup kuatkah kita untuk menahan pedihnya azab di neraka jahannam?"

Ah, usah cerita tentang pedihnya azab di akhirat kelak, azab sakaratul maut sahaja sudah tidak terperi sakitnya. Ya memang betul. Orang akan kata takutnya azab di neraka kelak sebab terlalu dahsyat siksaannya. Tetapi ramai orang tidak sedar tentang azab ketika sakaratul maut yang mana ianya pasti akan dirasai oleh setiap yang bernyawa. Dan ianya juga merupakan siri azab pedih yang pertama sekali dirasai apabila malaikat maut tiba untuk merentap nyawa dari jasad. Saya ingin berkongsi tentang sebuah kisah yang telah berlaku ke atas Nabi Idris A.S.

” Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idris dan dia meninggal ketika itu juga.

Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah. Setelah di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: “Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?”

Jawab Nabi Idris: “Sesungguhnya jika dibandingkan sakit terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup dan rasa sakit menghadapi maut adalah 1000 kali sakitnya.” Kata malaikat maut: “Sesungguhnya saya melakukan dengan secara berhati-hati dan tidak kasar apabila mencabut nyawa engkau itu dan belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”

Terdapat beberapa hadith yang menggambarkan betapa pedihnya sakit ketika sakaratul maut.

Sabda Rasulullah SAW:
“Sakaratul maut itu sakitnya sama dengan tusukan tiga ratus pedang” (HR Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW:  
“Kematian yang paling ringan ibarat sebatang pohon penuh duri yang menancap di selembar kain sutera. Apakah batang pohon duri itu dapat diambil tanpa membawa serta bagian kain sutera yang terobek ?”  (HR Bukhari)

Imam Al-Ghazali juga ada menyampaikan sesuatu mengenai sakaratul maut.

“Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kalian tangisi bisa berbicara sekejab, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kalian, niscaya kalian akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kalian sendiri . (Imam Ghozali mengutip atsar Al-Hasan).


                                                           ***

Perbualan mengenai hari kiamat tidak lepas dari bibir kebanyakan orang dewasa ini. Tidak kira golongan tua, remaja mahupun kanak-kanak. Masing-masing mentafsir kejadian-kejadian pelik didunia, bencana-bencana dan pelbagai malapetaka yang silih berganti untunk meluahkan kebimbangan tentang kedatangan hari kiamat.
Alhamdulillah kerana mereka sedar dengan usia bumi yang sudah semakin uzur. Saya juga rasa begitu. Tetapi saya terfikir tentang satu teguran yang dilontar oleh seorang sahabat saya kepada seorang lagi sahabat saya.

     "Usah difikir dan mentafsir bila tibanya hari kiamat syeikh, kerana sedangkan             nabi sendiri tidak mengetahui bila ia akan berlaku".

     "siapa kita nak tentukan bila kiamat akan berlaku?".

     "lebih baik kita siapkan diri kita dengan bekalan amal dan taqwa".

Teguran itu membuat saya berfikir. Betul juga ya. Kita ni sibuk sangat cerita kiamat dah dekat tapi persiapan langsung tak buat. Kita tahu tapi tak nak buat. Lebih baik kita berhenti dari memikirkan bila hari kiamat akan berlaku dan fikirkan bagaimana nak terus tingkat dan pesatkan amalan kita. Bukankah itu lebih wajar buat kita? Nah, disitu sudah dapat perkara yang perlu diusahakan mulai hari ini.

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
( Luqman : 34 )

Ya ikhwan dan akhowat sekalian,
lembaran ini saya nukilkan sekadar ingin berkongsi dan memberi peringatan buat diri saya sendiri dan buat kalian untuk sama-sama kita mentarbiyah dan muhasabah diri kita kembali. Sekelumit rasa keinsafan itu amat berharga buat diri kita semua. Semakin hari usia semakin berkurang. Ajal datang tidak mengenal usia. Kita tak boleh cakap kat malaikat Izrail "eh, tunggu sekejap ye abang malaikat, saya nak taubat dulu. Next time lah abang datang cabut nyawa saya". Kalau boleh macam tu senang la kan. Tapi ianya mustahil akan berlaku. Justeru itu, jangan pernah menganggap kita masih muda untuk beramal dan mahu bersuka ria terlebih dahulu. Tingkatkan amal dan perjuangkan Islam sementara masih punya waktu....


Tuesday, March 29, 2011

Aku masih muda......



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Assalammualaikum w.b.t, pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan kerana dah lama xmenulis apa-apa. Saya agak sibuk sekarang ini dan banyak peperiksaan yang saya perlu hadapi pada minggu-minggu sebelum ini tapi alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Jadi malam ini saya punyai masa terluang untuk menaip sesuatu untuk dikongsi bersama.
Maaf kerana kadang2 terpaksa guna "aku", kadang2 "saya". Saya gunakan mengikut kesesuaian. Jadi saya akan bercerita sedikit tentang usia muda yang mana saya sedang laluinya dan mungkin juga rakan-rakan yang berada dalam lingkungan usia yang boleh dikategorikan sebagai seorang yang masih muda.


Alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk hidup dimuka bumi ini. Dalam 2 minggu lagi insyaAllah usia saya akan mencecah 20tahun. TETAPI adakah dijamin saya akan hidup sehingga 2 miggu lagi?? atau 1 minggu?? atau sampai esok hari??? Sudah tentu jawapaannya TIDAK kerana kita tidak tahu berapa lama lagi kita akan hidup di dunia ini. Mungkin saja saya tidak berada lagi didunia ni pada esok hari. Semua itu adalah ketentuan Allah. Allah berhak menghidupkan dan mematikan sesiapa sahaja yang dikehendakinya.




Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud :
Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). 
( Az-Zumar : 47 )


Persoalannya adakah kita telah bersedia untuk menghadapi kematian?? Cukupkah amal soleh serta kebajikan yang telah kita laksanakan didunia ini?? Terasa hinanya diri ini bila dilontarkan soalan sedemikian rupa. Amalan kita terlalu sedikit disaat kita tidak pasti apakah umur kita akan dilanjutkan hinnga ke hari esok. Bekalan itu masih tidak mencukupi. Justru apa yang perlu kita lakukan?? Dosa sudahlah banyak tapi amalan sedikit!! Wahai sahabat-sahabat, saya berpesan pada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, marilah kita laksanakan cara hidup Islam. Jangan sekali-kali kalian mengatakan AKU MASIH MUDA untuk beramal. Janganlah kita menganggap bahawa kita kan hidup lebih lama lagi dan merancang untuk bertaubat dihari tua. Bagaimana kalau xsempat tua?? Ingatlah bahawa Allah S.W.T lebih mencintai seorang pemuda yang beribadat daripada seorang tua yang beribadat. 




Selain itu, kebanyakan kita tidak perasan bahawa sesuatu perkara telah dijadikan trend untuk diikuti oleh golongan muda-mudi. Sebagai contoh bercinta, bertandang ke tempat-tempat hiburan yang boleh mengundang maksiat, pergi ke konsert dan perkara-perkara yang seumpama dengannya. Perkara-perkara ini seolah-olah telah menjadi adat dan cara hidup anak-anak muda zaman sekarang. Oleh sebab itu, perkara-perkara tersebut dianggap biasa dan normal untuk dilakukan oleh anak muda. Tidak ada sedikit pon rasa berdosa pada mereka mungkin kerana menganggap ia adalah kehidupan normal bagi golongan muda. Inilah yang perlu kita perbetulkan. Kita perlu sedar dari ilusi dan mainan orang kafir laknatullah yang sedang menyesatkan anak-anak muda sekarang dengan menggunakan hiburan sebagai medium terbaik bagi mereka. Wahai sahabatku sekalian, marilah kita tanya pada diri kita apakah hukum perbuatan tertentu setiap kali kita ingin melakukannya. Jika ia dibolehkan dalam Islam maka teruskanlah tetapi jika ianya ditegah dalam Islam maka batalkanlah hajatmu itu.




Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Kedua-dua kaki anak Adam itu tetap akan berdiri di hadapan Tuhannya pada hari kiamat kelak sehingga selesai ditanya empat perkara:
  • Umurnya untuk apa dihabiskan;
  • Masa mudanya untuk apa dipergunakan;
  • Hartanya dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan;
  • Ilmunya apa yang sudah dibuat dengannya.”
Berdasarkan maksud hadis itu, jelaslah setiap manusia akan dipersoalkan setiap perkara yang dikurniakan kepadanya termasuk peluang yang diberikan ketika usia muda.  Seperti yang kita sedar, banyak perkara boleh dilakukan pada masa muda kerana pada usia sebeginilah kita dikurniakan tubuh yang sihat, bertenaga dan cerdas akal fikiran. Amat rugilah jika kesempatan sebegini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ambillah masa muda kamu sebelum kamu menjadi orang tua yang tersangat tua dengan memperbanyakkan istighfar. Mudah-mudahan agama ini dapat ditolong di tangan kamu. Marilah tingkatkan amalan kita kerana sesungguhnya di usia muda inilah waktu yang terbaik untuk kita mengumpul sebanyak-banyaknya kebajikan untuk dijadikan bekalan pada hari pembalasan nanti. Apa yg baik dtgnye dr Allah dan segala kesilapan itu tntunye dtg dari kekhilafan saya sendiri....










Thursday, February 24, 2011

Jangan dipersoal prinsipku...


Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang. Hari ini hati aku terpanggil untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang berkaitan dengan hidup setiap makhluk yang bernafas di muka bumi ini. Ia adalah prinsip. Prinsip bermaksud nilai-nilai akhlak yg menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Setiap orang pastinya mempunyai prinsip yang tersendiri walaupun berbeza-beza, begitu juga dengan aku. Aku punya prinsip yang menjadi pegangan hidupku dan pastinya aku memilih prinsip yang sentiasa berada dilandasan syariah yang benar.

Segala permasalahan didunia pasti ada jalan penyelesaiannya dan Al-quran adalah sumber utama bagi merungkai segala permasalahan. Al-quran juga menggalakkan umat manusia agar memerhati menyelidiki alam langit dan bumi berpandukan suluhan Al-quran yang berisi panduan hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk mencapai peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain. Ringkasnya, Al-quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu sehingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di dunia dan akhirat kelak.

Allah s.w.t telah berfirman :

“jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara maka kembalilah pada ALLAH (aL-Quran) dan Rasul (Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat.Itu adalah lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya”
(aN-Nisa’:59)


Setiap hukum Allah itu adalah tetap. Ini prinsipku. Jika Allah sudah mengharamkan sesuatu maka ia akan kekal haram walau apa jua hujah sekali pun yang dilemparkan. Aku sedar aku hanyalah insan yang dhaif tetapi prinsipku tidak akan pernah lari dari hukum Allah. Sesetengah orang mungkin mengambil mudah tentang kepentingan menjalankan perintah Allah, tetapi aku tidak sanggup untuk mengabaikannya kerana dosaku terlalu banyak!! Bayangkan jika aku abaikan semua hukum-hukum Allah entah berapa banyaklah dosa yang telah kulakukan. Aku tak layak untuk hidup dibumi Allah ini menghirup udara segar dan menikmati rezeki kurniaan Allah kerana aku tidak patuh pada perintahnya. Ingatlah, apakah tujuan kita dicipta dimuka bumi ini? Bersyukurlah dengan nikmat Islam dan iman yang kita perolehi sekarang dengan mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.


Tepuk dada tanya iman, adakan ia sudah benar-benar utuh walau apapun yang terjadi? Bagaimana dengan prinsip hidupmu? Adakah selari dengan hukum Allah? Jika ya sejauh mana kamu akan mempertahankan prinsip hidupmu? Jika kamu sayangkan Allah dan agamamu lakukanlah apa sahaja yang boleh menghindarkan kamu dari berlaku zalim terhadap diri kamu. Jauhilah maksiat kerana ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Binalah prinsip yang didasari dengan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Jauhilah perkara yang sudah terang-terangan diharamkan oleh syara'. Hatta ianya melibatkan 'orang penting' sekalipun kita perlulah menjauhinya kerana hukum Allah adalah lebih penting daripada segala-galanya. Mungkin ianya sukar tetapi kita hanya perlukan keberanian untuk menghalangnya. Ingatlah, Islam itu syumul dan jangan pernah kita nodainya.

Kadang-kadang hati ini tidak kuat, lemah untuk bertahan, beratnya dugaan ini. Hati terasa keseorangan tapi hakikatnya Allah ada bersama-sama. Ini baru sedikit jika hendak dibandingkan dengan orang lain, lebih hebat dugaannya. Allah tidak akan memberi sesuatu ujian jika hambanya tidak mampu menghadapinya. Bersabar dan kuatlah kerana Allah. Ya Allah, jika ini dugaan yang kau berikan kepadaku untuk aku lebih menyintaimu, redhakanlah aku dijalanmu.......



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...