Thursday, January 13, 2011

Muhasabah dapat membaja kesuburan takwa


TAKWA mempunyai bajanya dan apabila ramuan yang sesuai digunakan, takwa akan hidup dengan subur. Antara baja diperlukan untuk kesuburan takwa ialah muhasabah dan taubat. Umat Islam perlu berani merenung ke dalam diri dan melakukan muhasabah ke atas diri sendiri.


Khalifah Umar ibn Khattab pernah berkata, “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah. Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudian membuat perubahan positif ke atas diri sendiri, merekalah orang yang akan berjaya.”

Dalam surah al-Imran, ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan selepas terbabas melakukan kesilapan. Allah mengiktiraf mereka sebagai golongan bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Muhasabah yang dilakukan dengan ikhlas akan melahirkan keinsafan di hati. Keinsafan akan melahirkan taubat. Taubat yang hakiki dikenali sebagai taubat nasuha. Umar al-Khattab dan Ubai bin Kaab mentafsirkan taubat nasuha sebagai ‘meninggalkan dosa dan tidak akan kembali melakukannya sebagai mana susu tidak akan kembali ke payu dara’.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi berhubung seorang lelaki di zaman dulu yang membunuh 100 lelaki. Beliau akhirnya bertaubat dan sebelum sempat melakukan sebarang kebaikan, meninggal dunia. Allah menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam rahmat-Nya.

Pada zaman Nabi SAW, seorang wanita melakukan zina dan dengan penuh penyesalan menceritakan perbuatannya itu kepada Nabi SAW. Beliau pun dihukum. Selepas beliau meninggal dunia, Nabi SAW melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya.

Perbuatan nabi itu menghairankan Umar Al-Khattab lantas Umar pun bertanya, “Kamu bersembahyang ke atas mayatnya sedangkan beliau pernah berzina? Nabi menjawab, “Dia sudah bertaubat dengan satu taubat yang andai kata diagihkan taubat itu kepada tujuh puluh orang ahli-ahli maksiat di Madinah (yakni orang-orang munafik), nescaya ia mencukupi bagi mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Mengikut satu riwayat oleh Kalbi, “Dua orang sahabat, seorang dari Ansar dan seorang lagi dari Bani Thaqif, telah dipersaudarakan oleh Nabi SAW. Hubungan antara mereka berdua cukup mesra dan pada suatu hari sahabat dari Ansar keluar berperang bersama Nabi SAW. Beliau mengamanahkan sahabat beliau daripada Bani Thaqif untuk menjaga isterinya ketika beliau tiada.

Semuanya berjalan dengan baik seperti dirancang. Namun pada suatu hari ketika sahabat daripada Bani Thaqif menziarahi rumah sahabatnya untuk meninjau keadaan isteri sahabatnya, beliau ternampak wanita itu dalam keadaan yang terdedah auratnya.

Beliau terus masuk ke dalam rumah dan secara spontan terus menyentuh muka isteri sahabatnya serta mencium tangannya. Tiba-tiba beliau berasa malu atas perbuatannya dan terus melarikan diri ke atas bukit. Di situ beliau menjerit dan menangis meminta ampun kepada Allah tanpa henti.

Apabila sahabatnya kembali daripada medan perang isterinya menceritakan apa yang berlaku dan berita ini kemudian sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya Jibrail datang menyampaikan wahyu daripada Allah, iaitu ayat 135, Surah Ali-Imran yang disebutkan sebelum ini, “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Justeru, Allah mengasihi mereka yang berani mengakui kesalahan diri sendiri dan bertaubat. Ia adalah langkah penting menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Qusyairi berkata, “Taubat ialah langkah permulaan bagi mereka yang ingin berjalan mencari keredaan Allah.”

LABELS: 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...