Thursday, February 24, 2011

Jangan dipersoal prinsipku...


Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang. Hari ini hati aku terpanggil untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang berkaitan dengan hidup setiap makhluk yang bernafas di muka bumi ini. Ia adalah prinsip. Prinsip bermaksud nilai-nilai akhlak yg menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Setiap orang pastinya mempunyai prinsip yang tersendiri walaupun berbeza-beza, begitu juga dengan aku. Aku punya prinsip yang menjadi pegangan hidupku dan pastinya aku memilih prinsip yang sentiasa berada dilandasan syariah yang benar.

Segala permasalahan didunia pasti ada jalan penyelesaiannya dan Al-quran adalah sumber utama bagi merungkai segala permasalahan. Al-quran juga menggalakkan umat manusia agar memerhati menyelidiki alam langit dan bumi berpandukan suluhan Al-quran yang berisi panduan hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk mencapai peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain. Ringkasnya, Al-quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu sehingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di dunia dan akhirat kelak.

Allah s.w.t telah berfirman :

“jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara maka kembalilah pada ALLAH (aL-Quran) dan Rasul (Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat.Itu adalah lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya”
(aN-Nisa’:59)


Setiap hukum Allah itu adalah tetap. Ini prinsipku. Jika Allah sudah mengharamkan sesuatu maka ia akan kekal haram walau apa jua hujah sekali pun yang dilemparkan. Aku sedar aku hanyalah insan yang dhaif tetapi prinsipku tidak akan pernah lari dari hukum Allah. Sesetengah orang mungkin mengambil mudah tentang kepentingan menjalankan perintah Allah, tetapi aku tidak sanggup untuk mengabaikannya kerana dosaku terlalu banyak!! Bayangkan jika aku abaikan semua hukum-hukum Allah entah berapa banyaklah dosa yang telah kulakukan. Aku tak layak untuk hidup dibumi Allah ini menghirup udara segar dan menikmati rezeki kurniaan Allah kerana aku tidak patuh pada perintahnya. Ingatlah, apakah tujuan kita dicipta dimuka bumi ini? Bersyukurlah dengan nikmat Islam dan iman yang kita perolehi sekarang dengan mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.


Tepuk dada tanya iman, adakan ia sudah benar-benar utuh walau apapun yang terjadi? Bagaimana dengan prinsip hidupmu? Adakah selari dengan hukum Allah? Jika ya sejauh mana kamu akan mempertahankan prinsip hidupmu? Jika kamu sayangkan Allah dan agamamu lakukanlah apa sahaja yang boleh menghindarkan kamu dari berlaku zalim terhadap diri kamu. Jauhilah maksiat kerana ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Binalah prinsip yang didasari dengan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Jauhilah perkara yang sudah terang-terangan diharamkan oleh syara'. Hatta ianya melibatkan 'orang penting' sekalipun kita perlulah menjauhinya kerana hukum Allah adalah lebih penting daripada segala-galanya. Mungkin ianya sukar tetapi kita hanya perlukan keberanian untuk menghalangnya. Ingatlah, Islam itu syumul dan jangan pernah kita nodainya.

Kadang-kadang hati ini tidak kuat, lemah untuk bertahan, beratnya dugaan ini. Hati terasa keseorangan tapi hakikatnya Allah ada bersama-sama. Ini baru sedikit jika hendak dibandingkan dengan orang lain, lebih hebat dugaannya. Allah tidak akan memberi sesuatu ujian jika hambanya tidak mampu menghadapinya. Bersabar dan kuatlah kerana Allah. Ya Allah, jika ini dugaan yang kau berikan kepadaku untuk aku lebih menyintaimu, redhakanlah aku dijalanmu.......



Wednesday, February 16, 2011

ya ALLAH.....ampunilah diriku....

         Entah mengapa malam-malam begini aku tergerak untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang teramat membebankan hati sanubariku. Seperti biasa sebelum selimut ditarik menyelubungi tubuhku aku akan berfikir sejenak dan muhasabah diriku tentang apa yang telah kulakukan hari demi hari. Terlalu banyak rasanya dosa yang telah kulakukan. Setiap hari telah banyak maksiat mata, telinga dan juga mulut yang telah kulakukan. Entah berapa banyaklah dosa yang telah kulakukan selama hampir 20 tahun aku menumpang dibumi ALLAH ini. mungkin sudah bergunung-ganang jika dihimpunkan. Setahun ada 365 hari, aku sudah hidup hampir 20 tahun dan jika didarabkan bilangan hari, 365 x 20.... itupun kalau aku lakukan 1 dosa sehari tapi MUSTAHIL bagi aku kerana aku adalah insan yang dhaif yang acap kali melakukan kekhilafan. Ya ALLAH!!!!! Ampuni daku ya ALLAH!!! aku malu terhadap mu ya ALLAH.....
Aku sedar masih banyak lagi perkara yang perlu kuperbetulkan. Aku akan terus berdoa padamu ya ALLAH. Taubatku perlu disegerakan kerana Sahl bin Abdullah berkata: Barangsiapa yang berkata bahawa taubat adalah tidak wajib maka ia telah kafir, dan barangsiapa yang menyetujui perkataan seperti itu maka ia juga kafir. Dan ia berkata: "Tidak ada yang lebih wajib bagi makhluk dari melakukan taubat, dan tidak ada hukuman yang lebih berat atas manusia selain ketidak tahuannya akan ilmu taubat, dan tidak menguasai ilmu taubat itu (Di sebutkan oleh Abu Thalib Al Makki dalam kitabnya Qutul Qulub, juz 1 hal. 179).

Aku ada menyimpan satu doa mustajab yang aku dapati dari ceramah Ustazah Siti Nor Bahyah. Doa ini adalah doa yang telah dipohon oleh Nabi Adam A.S. setelah dia dicampakkan ke atas muka bumi ini akibat melanggar larangan ALLAH kepadanya. Setelah beliau berdoa, ALLAH telah berfirman :

wahai adam,
engkau telah berdoa kepadaku dengan doa yang aku kabulkan, jika salah seorang dari zuriatmu berdoa dengan doa tersebut nescaya aku akan hilangkan kedukaan dan kekeruhannya, aku akan melindunginya,aku akan menguntungkannya satu perniagaan selepas satu perniagaan,
dan aku akan memberikannya dunia walaupun dia tidak menghendakinya.....

Aku bersyukur kerana ini adalah satu berita baik buat semua umat Islam di muka bumi ini. Tetapi kita juga harus ingat bahawa kita perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah kemaksiatan dan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH S.W.T. Segala kewajipan kita sebagai seorang Muslim wajib dilaksanakan tanpa sebarang bantahan. Maha suci ALLAH diatas segala perkara yang telah diaturkan-NYA. Marilah kita sama-sama bertaubat sementara nyawa masih dikandung badan. Walau sehina manapun kita ALLAH pasti mengampuni kita jika kita benar-benar menyesali perbuatan kita dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. ALLAH SWT telah berfirman didalam Al-Quran:

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (QS. Al Baqarah: 222).

 Dan dalam penjelasan tentang keluasan ampunan ALLAH SWT dan rahmat-Nya bagi orang-orang yang bertaubat. ALLAH SWT berfirman:

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)

Ayat ini membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakuKan kesalahan. Meskipun dosa mereka telah mencapai hujung langit sekalipun. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:

"Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian." (Hadist diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Hurairah, dan ia menghukumkannya sebagai hadits hasan dalam kitab sahih Jami' Shagir - 5235)
Allah berfirman dalam Hadits Qudsi : “Wahai anak Adam selama engkau masih berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, Aku ampuni engkau apa pun yang datang darimu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam walaupun dosa-dosamu mencapai batas langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku akan ampuni engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau mendatangi-Ku dengan sepenuh bumi dosa dan engkau tidak menyekutukan-Ku, maka Aku akan menemuimu dengan sepenuh itu pula ampunan.” (HR. Tirmidzi dan di Hasankan oleh beliau).

Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ku pujuk diriku, la tahzan!!! Jangan pernah putus harapan dengan rahmat ALLAH. Tiada siapapun yang dikecualikan dari pengampunan Allah selama mana dia tidak pernah mensyirikkan ALLAH S.W.T. ALLAH itu Maha Adil. Ya ALLAH teguhkanlah keimananku terhadapmu agar ia dapat menjadi perisaiku dari terjebak kelembah kehinaan. Terlalu banyak dosa yang telah kulakukan kepadamu ya ALLAH. Ampunilah daku, ampunilah daku ya ALLAH.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...