Thursday, February 24, 2011

Jangan dipersoal prinsipku...


Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang. Hari ini hati aku terpanggil untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang berkaitan dengan hidup setiap makhluk yang bernafas di muka bumi ini. Ia adalah prinsip. Prinsip bermaksud nilai-nilai akhlak yg menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Setiap orang pastinya mempunyai prinsip yang tersendiri walaupun berbeza-beza, begitu juga dengan aku. Aku punya prinsip yang menjadi pegangan hidupku dan pastinya aku memilih prinsip yang sentiasa berada dilandasan syariah yang benar.

Segala permasalahan didunia pasti ada jalan penyelesaiannya dan Al-quran adalah sumber utama bagi merungkai segala permasalahan. Al-quran juga menggalakkan umat manusia agar memerhati menyelidiki alam langit dan bumi berpandukan suluhan Al-quran yang berisi panduan hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk mencapai peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain. Ringkasnya, Al-quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu sehingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di dunia dan akhirat kelak.

Allah s.w.t telah berfirman :

“jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara maka kembalilah pada ALLAH (aL-Quran) dan Rasul (Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat.Itu adalah lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya”
(aN-Nisa’:59)


Setiap hukum Allah itu adalah tetap. Ini prinsipku. Jika Allah sudah mengharamkan sesuatu maka ia akan kekal haram walau apa jua hujah sekali pun yang dilemparkan. Aku sedar aku hanyalah insan yang dhaif tetapi prinsipku tidak akan pernah lari dari hukum Allah. Sesetengah orang mungkin mengambil mudah tentang kepentingan menjalankan perintah Allah, tetapi aku tidak sanggup untuk mengabaikannya kerana dosaku terlalu banyak!! Bayangkan jika aku abaikan semua hukum-hukum Allah entah berapa banyaklah dosa yang telah kulakukan. Aku tak layak untuk hidup dibumi Allah ini menghirup udara segar dan menikmati rezeki kurniaan Allah kerana aku tidak patuh pada perintahnya. Ingatlah, apakah tujuan kita dicipta dimuka bumi ini? Bersyukurlah dengan nikmat Islam dan iman yang kita perolehi sekarang dengan mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.


Tepuk dada tanya iman, adakan ia sudah benar-benar utuh walau apapun yang terjadi? Bagaimana dengan prinsip hidupmu? Adakah selari dengan hukum Allah? Jika ya sejauh mana kamu akan mempertahankan prinsip hidupmu? Jika kamu sayangkan Allah dan agamamu lakukanlah apa sahaja yang boleh menghindarkan kamu dari berlaku zalim terhadap diri kamu. Jauhilah maksiat kerana ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Binalah prinsip yang didasari dengan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Jauhilah perkara yang sudah terang-terangan diharamkan oleh syara'. Hatta ianya melibatkan 'orang penting' sekalipun kita perlulah menjauhinya kerana hukum Allah adalah lebih penting daripada segala-galanya. Mungkin ianya sukar tetapi kita hanya perlukan keberanian untuk menghalangnya. Ingatlah, Islam itu syumul dan jangan pernah kita nodainya.

Kadang-kadang hati ini tidak kuat, lemah untuk bertahan, beratnya dugaan ini. Hati terasa keseorangan tapi hakikatnya Allah ada bersama-sama. Ini baru sedikit jika hendak dibandingkan dengan orang lain, lebih hebat dugaannya. Allah tidak akan memberi sesuatu ujian jika hambanya tidak mampu menghadapinya. Bersabar dan kuatlah kerana Allah. Ya Allah, jika ini dugaan yang kau berikan kepadaku untuk aku lebih menyintaimu, redhakanlah aku dijalanmu.......



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...